Jumaat, 10 Ogos 2012

Ke Arah Kesempurnaan Hidup


Dewasa ini, pendidikan masyarakat semakin hebat dan mencabar, khususnya dalam bidang pembangunan, teknologi maklumat multimedia dan sebagainya. Keasyikan mengejar kemajuan dalam bidang tersebut telah menyebabkan kita terlupa untuk mengisi jiwa anak-anak dengan pendidikan akidah dan akhlak yang mulia mengikut lunas-lunas Al-Quran dan Sunnah.  Pengabaian ini akhirnya melahirkan generasi muda yang berjaya menguasai ilmu moden dan memiliki kemahiran produktiviti yang tinggi, tetapi gagal melahirkan generasi yang berakhlak. Inilah hakikat yang membawa generasi muda ini terjebak dalam kancah kemaksiatan, lupa tanggungjawab kepada Allah, diri dan masyarakat.  


Firman Allah:  “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan oleh tangan manusia  kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali ke jalan yang benar.”        (Ar-Rum : 41)

Apa yang menyedihkan kita ialah gejala syirik, murtad, penagihan dadah dan sebagainya telah melanda generasi pelajar masa kini sehingga ianya tidak mampu ditangani oleh ibubapa dan masyarakat. Ini berpunca dari ketandusan didikan akidah dan akhlak  ke dalam diri anak-anak. 



Untuk itu, kita perlu satu kaedah bagi menyelesaikan masalah ini agar tidak membelenggu masyarakat kita hari ini. Antaranya;

  • Pemantapan akidah hendaklah dilakukan di peringkat bayi lagi sehingga menjadi remaja. Ibubapa dan guru berganding bahu dalam menanam benih akidah ke dalam diri anak-anak yang sedang mekar berkembang.  Pepatah Melayu menyebut  “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”  Penekanan kepada  iman, Islam dan ihsan perlu menjadi topik utama dan manifestasi dalam aktiviti pendidikan serta dihayati oleh semua masyarakat. 
  • Akidah perlu dilihat sesuatu yang sistematik untuk dilengkapi antara satu dengan lain.
  • Kefahaman Islam hendaklah berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Berpegang kepada keduanya dapat menghindarkan generasi muda dari  menjadi pelampau dan melanggar larangan Allah.
  • Mewujudkan program “Bina Dalaman Diri” insan dengan roh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.  

Dengan adanya amalan dan penghayatan Islam, 
InsyaAllah akan lahirlah insan yang cintakan Allah dan agamanya.  










Khamis, 9 Ogos 2012

Kenali Punca Stres Dan Cara Mengatasinya....




Firman Allah :  “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan  kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.  Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”    (Al-Baqarah :155).


Ayat ini menjelaskan kepada kita, manusia tidak sunyi daripada ujian dan kesusahan.  Semua itu menjadi tekanan kepada manusia. Tekanan-tekanan tersebut adakalanya memberi motivasi yang baik dalam kehidupan manusia namun ia juga boleh memberikan kesan negatif pada emosi dan fizikal diri seseorang.   


Antara punca berlakunya stress pada diri manusia, apabila;

1. Hati menjadi leka dan lalai mengingati Allah.  Sekiranya ini berpanjangan, maka hubungan seseorang dengan Allah akan menjadi rapuh.  
Firman Allah bermaksud: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit dan akan himpunkan dia di hari Kiamat dalam keadaan buta.”    
(Taha : 124)

2.  Roh atau jiwa yang lemah dalam menangkis perkara-perkara yang negatif.  Akibatnya, seseorang itu akan  mudah mendapat gangguan dari iblis ataupun syaitan.  
FirmanNya bermaksud:Dan mereka bertanya tentang roh.  Katakan, “Roh itu urusan Tuhanmu, kamu tidak diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit sahaja.”  
(Al- Isra : 85)

3.  Hati dipengaruhi oleh nafsu lawwaamah.  Apabila nafsu ini tidak dapat dikawal maka segala sifat cela dan keji akan menguasai hati.  Lain pula halnya dengan nafsu mutmainnah, ia dapat mendorong hati  melakukan perkara positif dan rasional.  
FirmanNya bermaksud:  “Dan aku bersumpah dengan nafsu lawwaamah’ (bahawa kamu akan dibangkitkan  sesudah mati)!.       
(Al-Qiamah : 2)

4. Akal tidak memperoleh ilmu sedangkan akal itu adalah tempat ilmu pengetahuan.  (Imam al Ghazali).  Pesan Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, duduklah kamu dengan orang-orang yang berilmu dan rapatkanlah lutut-lututmu dengan mereka, sesungguhnya  Allah menghidupkan hati (akal) dengan cahaya ilmu, sebagaimana bumi dan air hujan.“

Ringkasnya, stres berpunca dari kelemahan diri kita sendiri. Atasilah ia dengan zikir serta keimanan yang kukuh padaNya.



Rabu, 8 Ogos 2012

Mencari Kemasyhuran Tak Salah Tapi……


Perkataan Glamor, Popular, Masyhur, Terkenal sudah menjadi makanan bagi mereka yang rakus mencari kekayaan dan kemewahan hidup.  Tidak hairanlah, jika ada di antara kita sanggup meninggalkan keluarga, lupa tanggungjawab dan sebagainya semata-mata hendak mengejar glamour dan menjadi terkenal.


           Dalam organisasi umpamanya, tidak kurang  individu yang berusaha untuk menonjolkan diri bagi mencapai kepentingan peribadi.  Untuk tujuan baik atau buruk, hanya individu itu sahaja yang tahu.  Tidak salah menjadi orang yang masyhur jika diri pandai mengendalikan keadaan. Namun, dalam banyak hal, manusia sebenarnya tidak digalakkan untuk mencari apa lagi mengejarnya kerana dibimbangi kemasyhuran membawa kepada kesan yang negatif pada diri dan keluarga sepertimana yang telah saya sebutkan di awal penulisan tadi. 

Pesan sarjana Islam, Dr. Aid Abdullah al-Qarni dalam bukunya ‘Jangan Bersedih’, tidak usahlah bercita-cita mahu menjadi terkenal kerana akibatnya akan mendatangkan kesusahan, kesedihan dan kegelisahan pada seseorang.  Jiwa akan menjadi kotor dan menggugat kekuatan hati.  




Firman Allah dalam surah Al-Qashash : 83 bermaksud, “Kebahagiaan di negeri akhirat itu Kami berikan pada orang-orang yang tidak menyombong diri dan tidak berbuat kerosakan (maksiat) di muka bumi.”

Kemasyhuran itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang tercela. Dalam sejarah Islam, tiada orang yang paling popular selain daripada Rasulullah, para khalifah dan ulama terdahulu.  Yang tercela dalam mengejar kemasyhuran itu apabila seseorang rakus dan gila mengejar untuk mendapatkan kedudukan (pangkat).  Tetapi jika kemasyhuran itu datang tanpa dia sendiri inginkan, perkara itu dianggap tidak salah. Imam al-Ghazali berpandangan, “Kemasyhuran itu boleh menjejaskan orang yang berjiwa lemah tetapi tidak bagi orang yang  berjiwa  kuat.”

Dalam satu hadis yang dikeluarkan Tarmizi dan Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah, katanya, seorang lelaki bertanya pandangan Rasulullah mengenai orang yang membuat kebajikan kemudian merahsiakan kebajikan yang dilakukannya.
Rasulullah bersabda, “Dia mendapat dua pahala: pahala berbuat baik secara rahasia dan pahala secara terang-terangan.” (Riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan di sahihkan Ibnu Hibban).