Rabu, 8 Ogos 2012

Mencari Kemasyhuran Tak Salah Tapi……


Perkataan Glamor, Popular, Masyhur, Terkenal sudah menjadi makanan bagi mereka yang rakus mencari kekayaan dan kemewahan hidup.  Tidak hairanlah, jika ada di antara kita sanggup meninggalkan keluarga, lupa tanggungjawab dan sebagainya semata-mata hendak mengejar glamour dan menjadi terkenal.


           Dalam organisasi umpamanya, tidak kurang  individu yang berusaha untuk menonjolkan diri bagi mencapai kepentingan peribadi.  Untuk tujuan baik atau buruk, hanya individu itu sahaja yang tahu.  Tidak salah menjadi orang yang masyhur jika diri pandai mengendalikan keadaan. Namun, dalam banyak hal, manusia sebenarnya tidak digalakkan untuk mencari apa lagi mengejarnya kerana dibimbangi kemasyhuran membawa kepada kesan yang negatif pada diri dan keluarga sepertimana yang telah saya sebutkan di awal penulisan tadi. 

Pesan sarjana Islam, Dr. Aid Abdullah al-Qarni dalam bukunya ‘Jangan Bersedih’, tidak usahlah bercita-cita mahu menjadi terkenal kerana akibatnya akan mendatangkan kesusahan, kesedihan dan kegelisahan pada seseorang.  Jiwa akan menjadi kotor dan menggugat kekuatan hati.  




Firman Allah dalam surah Al-Qashash : 83 bermaksud, “Kebahagiaan di negeri akhirat itu Kami berikan pada orang-orang yang tidak menyombong diri dan tidak berbuat kerosakan (maksiat) di muka bumi.”

Kemasyhuran itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang tercela. Dalam sejarah Islam, tiada orang yang paling popular selain daripada Rasulullah, para khalifah dan ulama terdahulu.  Yang tercela dalam mengejar kemasyhuran itu apabila seseorang rakus dan gila mengejar untuk mendapatkan kedudukan (pangkat).  Tetapi jika kemasyhuran itu datang tanpa dia sendiri inginkan, perkara itu dianggap tidak salah. Imam al-Ghazali berpandangan, “Kemasyhuran itu boleh menjejaskan orang yang berjiwa lemah tetapi tidak bagi orang yang  berjiwa  kuat.”

Dalam satu hadis yang dikeluarkan Tarmizi dan Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah, katanya, seorang lelaki bertanya pandangan Rasulullah mengenai orang yang membuat kebajikan kemudian merahsiakan kebajikan yang dilakukannya.
Rasulullah bersabda, “Dia mendapat dua pahala: pahala berbuat baik secara rahasia dan pahala secara terang-terangan.” (Riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan di sahihkan Ibnu Hibban).  




Tiada ulasan:

Catat Ulasan